BANGI: Bermula Januari depan, pesakit yang menjalani prosedur pemindahan organ di luar negara tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan, tidak akan dibekalkan ubat anti-penolakan secara percuma oleh hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah itu terpaksa diambil disebabkan berikutan ramai pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital yang tidak diiktiraf, mengalami pelbagai komplikasi.
“Keputusan ini bagaimanapun tidak merangkumi pesakit sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2011, di sini, semalam.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi menggalakkan rakyat menjalani prosedur berkenaan dalam negara memandangkan hospital di Malaysia kini sudah mempunyai kepakaran dan teknologi canggih.
Namun kata Tiong Lai, bagi kes tertentu pesakit boleh dapatkan kebenaran kementerian melakukan pemindahan di luar negara.
Bagi tempoh 2001 hingga 2010, sebanyak 1,482 prosedur pemindahan organ membabitkan buah pinggang dilakukan rakyat negara ini, dengan 914 daripadanya dilakukan di luar negara, katanya.
Daripada jumlah itu, 834 dilakukan di China, India (57) dan 23 di negara lain seperti Singapura, Australia dan Russia.
Tiong Lai juga berkata, sehingga September lalu, seramai 14,037 pesakit sedang menunggu pendermaan organ dengan kebanyakan daripada mereka adalah pesakit buah pinggang.
“Dalam tempoh masa yang sama, seramai 181,534 rakyat Malaysia mendaftar sebagai untuk menderma organ dengan 55 peratus daripadanya adalah wanita,” katanya.
Beliau berkata, jumlah penderma organ di negara ini juga menunjukkan peningkatan iaitu hanya 13 penderma kadaverdik atau mereka yang menderma organ selepas kematian pada 2005 berbanding 39 pada 2009 dan 38 pada tahun lalu.
“Sehingga 30 September 2011, sudah terdapat 33 penderma. Jumlah keseluruhan penderma organ sehingga kini adalah 342 orang.
“Antara organ yang didermakan ialah kornea, buah pinggang, injap jantung, tulang, hati, jantung dan kulit,” katanya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, pihaknya memandang serius dakwaan Bangladesh yang mengaitkan hospital di negara ini dengan aktiviti pemerdagangan organ secara tidak sah di negara itu.
Malaysia katanya, sentiasa berpegang kepada polisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia berhubung aktiviti pemindahan sel, tisu dan organ manusia serta Polisi Transplantasi Organ, Tisu dan Sel Kebangsaan. – BERNAMA
Originally published by utusan.com.my
Click here to return to previous section
|