BANGI 16 Okt. – Bermula Januari depan, pesakit yang menjalani prosedur transplan organ di luar negara tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan, tidak akan dibekalkan ubat antipenolakan secara percuma oleh hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu berikutan ramai pesakit yang berbuat demikian terutama di hospital yang tidak diiktiraf, mengalami pelbagai komplikasi.
Keputusan ini bagaimanapun tidak merangkumi pesakit sedia ada, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2011, di sini hari ini.
Katanya, langkah itu juga bagi menggalakkan rakyat menjalani prosedur tersebut dalam negara memandangkan hospital di Malaysia kini mempunyai kepakaran dan teknologi canggih.
Namun kata Tiong Lai, bagi kes-kes tertentu, pesakit boleh mendapatkan kebenaran kementeriannya untuk melakukan transplan di luar negara. – Bernama
Originally published by utusan.com.my
Click here to return to previous section
|